lagu tema: Edwin Rosen / Dian Mayasari‘s Tiada Abadi

minggu pertama tahun baru kali kelihatannya agak lesu, dengan percubaan menghilangkan perasaan – perasaan yang lalu. beberapa minit setelah berlalunya jam dua belas, saya dan A melihat sama sendiri dan semacam kagum dengan berlalunya sebuah tahun (ianya hanya sebuah perasaan akhirnya) – yang bagi saya, penuh acara ragam dan orang, sekurang-kurangnya? serta kematian dan sakit, tentunya – yang kadang-kadang boleh membuatkan saya berhenti berhuha sebentar dan menatap (meratap?) keabadian yang boleh datang bila-bila sahaja.
lalu, apa bentuk harapan kita tahun ini? apabila sudah tua-tua sebegini, waktu itu tentunya berlalu dengan terlalu pantas, dan waktu yang akan datang juga sudah mula dipenuhi dengan permintaan akal masa dan tubuh badan. apabila malam-malam sendu begini, saya akan teringat cerpen-cerpen danarto, terutamanya Mereka toh Tidak Mungkin Menjaring Malaikat – mungkin adalah antara cerpen paling gembira yang pernah ditulis. pinta saya cuma satu sebenarnya, menjadi seperti angin.
tetapi kita tetap harus bersemuka dunia akhirnya – saya yang harus ikut serta bersama orang-orang berkepentingan berte dalam sebuah hotel lima bintang di padang pasir berbincang, atau mungkin sekadar berucap tentang hal-hal sekarang dan yang akan datang – yang bagi saya cuma sesuatu yang abstrak – adalah amat bosan untuk menuju kearah sesuatu matlamat dengan ukuran dan kira-kira para ahli statistik yang duduk di sebalik komputer – lalu untuk apa? tapi kita layan aje, yang penting ada cuaca panas dan sauna?
kemudian, antara yang lain tahun ini – singapura (mungkin), pulang, lithuania, ferropolis (?), amsterdam, budapest, zurich, brunei, in no particular order. saya penat dengan peredaran matahari, izinkan saya bermandikan cahaya bulan sahaja, boleh? doktor kinderwunsch saya menasihati untuk tidak terlalu derak mano mano, tapi apo dayo, apo nok dikato? prosesnya tetap harus dimulakan, kan?