Ada sesuatu yang tak terungkap dalam diriku, ketika aku terbaring di dalam bilik seorang diri setelah selesai dengan dunia luar pada pagi itu, daripada perjalanan menaiki kapal terbang daripada Kuala Lumpur ke Jakarta, dan menaiki kereta api ke Jakarta melalui perumahan ditepi rel kereta api yang diperbuat daripada papan dan kegelapan dan penyidai dan dapur makeshift. Ada sisi-sisi yang tak pernah aku akan ketahui dalam hidup ini, ever.
Aku kemudian berjalan kaki menuju ke kosan, perjalanan dalam sekitar 1.4 kilometer dari Stasiun Sudirman ke Jalan Setiabudi 6. Melihat bandar sambil menarik luggage yang bising bergerak di atas jalan raya, seiring dengan motor-motor dengan kereta. Seketika, aku rasa bebas dalam keramaian ini.
Petang itu, setelah selesai waktu pejabat yang bagi aku, cuma 4 jam waktunya, mostly sebab aku lupa bawa charger laptop, makanya agak tak masuk akal untuk aku tinggal lama-lama di situ. Aku pulang, dan menelefon Nata di Germany, dan kami masing-masing menceritakan tentang ketakutan dan kegusaran masa depan masing-masing. Aku dengan perpindahan aku ke Denmark, dan dia yang entah ke mana, mungkin Colombia atau mungkin ke kampung halaman Einstein di Ulm.
Tak lama setelah itu, aku ke Plaza Semanggi pula, kerana telah berjanji dengan Ifa untuk bermain go kart di sana. A ada di situ, dan at this point aku sudah tidak peduli. Imaginasi aku telah pudar, dan yang tinggal cuma saki-baki realiti kehidupan dan tak semua benda boleh membuatkan kau lupa dan buat-buat lupa. Pendek kata, aku malas nak layan. Tapi jauh dalam hati, ada keinginan untuk memberitahu mimpi-mimpiku kepadanya. Kami ke Gramedia, dan aku melihat buku L S Chudori yang aku gemari, dan berkira-kira mahu membelinya. Mungkin hari ini kita harus ke Kemang, untuk melihat filem dan diskusi bersamanya, dan aku mengajak Ayu. Tak ada hari lain kecuali hari ini.
Aku memberi A membaca buku Fragmen tulisan Karl, sementara aku berdansa from a cheap rip off version of Just Dance. Aku katakan, he’s one of the best poets we have right now, dan aku mengakui ini bukanlah kata-kata seseorang yang support kawan, tapi lebih kepada pernyataan yang lahir apabila aku membacanya ketika dalam MRT baru-baru ini. Ada sejenis kegusaran dan kesengsaraan yang aku dapat rasakan yang hanya dapat lahir apabila keramaian telah beransur hilang, dan yang tinggal hanya kesunyian dan kerinduan, yang diungkapkan dalan kata-kata yang penuh kejujuran. Pulang dari go-kart dan berdansa di permainan arket.
Pulang dari go-kart dan berdansa di permainan arket, meninggalkan the 4 indonesians (Didit, A, Rizky, dan Ifa), aku menaiki gojek pulang dan mula memasak 12 burger ramlee di kosan aku. Paula, Evandro, Jeff, dan Alina tiba satu demi satu dan kami memotong sayur, meletakkan butter kepada roti burger dan aku cuba berfikir bagaimana nak buat sos lada hitam tanpa tepung (ianya susah kan). 2 jam kemudian, setelah 2-3 minuman teh dan Milo dan bercakap tentang hal-hal kosong. Mereka masing-masing pulang.
Aku yang masih gusar, kembali bilik dan menatap (atau meratap) pada siling, tiba-tiba rasa begitu letih. Sebelum subuh, aku ke dapur dan bertemu kedua ibu bapaku sedang berbual-bual dan bersedia untuk memasak sarapan. Aku rindu mereka, dan aku sedar yang tak ada apa-apa gambar, video ataupun ucapan yang boleh menjelaskan betapa dalamnya sayang aku kepada mereka. Kasih sayang mereka berbentuk perbuatan dan ingatan dan doa, jauh daripada keramaian dan sapa mesra.
Tiba-tiba aku didatangi oleh perasaan membuak untuk merokok. Aku ke tingkat lima dan melihat bandar Jakarta yang akan aku rindui, dan mungkin tak akan kembali lagi setelah kurang dari satu bulan lagi aku akan berada di sini.
Adalah sangat mudah untuk bercakap hal-hal tangible, seperti melalui skrip yang sama dan anda cuma perlu ulang semula kepada orang-orang yang akan mengangguk dan memberi pendapat, cadangan, solusi. Tetapi keseluruhan diriku terdiri dan bermula daripada perasaan (dan bukan emosi ataupun mood), dan tidak ada suatu tempat atau orang pun di dunia ini yang boleh aku ceritakan tentangnya.
Di suatu sudut terpencil, ada seorang perempuan yang sedang menunggu keberanian untuk berkata-kata.