sebuah cerpen yang belum di-edit, dan mungkin bosan kalau dibaca bersama (keseluruhan) ruangan ini.
~~~~
Mereka sedang duduk bersama di atas lantai berkarpet beralaskan selimut sambil bertukar puntung rokok, merenung dinding yang kosong dan melihat warna langit yang semakin gelap ditelan malam .
“Teh?”, N kemudian bertanya, langsung memecahkan kesunyian, dan aku angguk perlahan tidak menghiraukannya ketika dia bangun dan menuju ke dapur. Bunyi gelas yang diambil daripada kabinet kedengaran, dan aku biarkan.
Aku mencapai telefon bimbitku dan melihat jikalau ada mesej masuk, tetapi waktu di Malaysia terlalu lewat – semua orang sedang tidur nyenyak atau sedang leka dengan lamunan tersendiri. Seperti yang aku jangkakan, langsung tidak ada mesej kecuali ucap selamat malam dan jumpa sebentar sahaja lagi daripada F lima jam yang lalu.
Dia muncul di pintu, membawa dua cawan dan jag berisi teh panas, serta sepinggan biskut kering.
“Tunggu sebentar, teh belum sedia”, dia berkata, dan kemudian menyambung duduk di sebelahku. Aku cuma meletakkan tanganku di atas bahunya, dan dia bertanya apa yang aku sedang lihat.
Oh, tak ada apa, cuma Instagram seorang kenalan lama, dan aku hulurkan telefonku kepadanya, dan kami berdua melihat gambar-gambar yang terpapar kemas dan cermat. “Mana ni?”, dia bertanya.
“Jepun”, aku balas ringkas.
“Nampak macam menarik. Tetapi dia nampak keseorangan?”
“Memang ya pun,” dan aku gelak besar. N mengerling padaku dan balas, “Amboi jahat betul ya. Pernah sampai ke sana?”
“Ya, beberapa tahun yang lepas,”
“Dengan F?”
“Tak”. Aku membayangkannya dalam sebuah misi untuk cuba menjejak langkahku satu-persatu, dari negara ke negara, bandar ke bandar. Di setiap satu tempat, aku tak menceritakan tentang kenangan atau peristiwa, cuma janji-janji yang disebut dan tempat-tempat untuk dilawati. Aku neutral orangnya. Di biliknya, empat tahun yang lalu, tergantung sebuah peta dunia yang telah aku tandakan dengan jarum peniti tempat-tempat yang aku pernah pergi, dan yang aku akan lewati suatu hari nanti.
“Mamat ini tak ada finesse, you see“, kata aku, menunjuk kepada komposisi gambar selfie yang janggal, senyumannya yang dibuat-buat, dan badannya yang semakin tegap yang aku bayangkan semakin sukar untuk dipeluk, dikelilingi bangunan-bangunan dan objek-objek masa lalu – di kuil-kuil lama, di celah kesibukan kota raya, di gedung permainan video dan animasi, dan di taman permainan orang dewasa.
“Dia nampak okay aje. Apa yang terjadi?”, tanya N.
“Dia membuatkan aku terlalu gembira dengan keterpencilannya. Dia terlalu sempurna. Kami pernah berjanji untuk menyambung pelajaran ke Jepun bersama-sama, mempunyai anak-anak berkulit coklat, tidur di siang hari dan melihat filem di waktu petang dan masak masakan sedap di waktu malam di hujung minggu dan bekerja sehingga mati, menjadi tua dan all that, mengucapkan terima kasih kepada tuhan atas nikmat-nikmat kecil ini. Aku sukakan semua tu, tapi aku sedar yang sebenarnya aku bukan orang yang macam tu. Jadi aku terpaksa pergi”.
Ia dunia yang terlalu jauh dengan diriku sekarang.
“Jadi siapa aku pula?” tanya N, sambil menuang teh untuk dirinya.
“Buat masa sekarang, sebuah realiti yang tidak boleh disebut,”, aku gelak kecil, dan mengambil cawan daripadanya dan menghirup kepanasan teh untuk melegakan penat dan dahaga. “Maaf”.
Seperti orang-orang lain, N hanya wujud sebagai sebuah momen yang terperangkap yang tidak boleh diperkatakan, dipertonton, atau disebut ulang lagi. Tidak diraikan. Tapi all the same, aku mengambil gambar N yang sedang memandangku dengan renungannya yang tajam.
“Untuk koleksi peribadi lagi?”
“Ya, mungkin. Siapa tahu bila aku akan datang ke sini lagi”, dan aku melihatnya senyum sinis dan menggeleng kepala.
“Kau mungkin rasa yang berlagak tidak kisah, mentertawakan semua hal, atau meletakkan semua benda atas ketidakpastian ini satu cara paling selamat untuk menghadapi dunia, tetapi aku rasa, itu tidak sihat”.
“Itu semua betul, mungkin. Tapi kadang-kadang dunia terlalu memenatkan untuk menyatakan apa-apa. Jadi lebih baik begini, buat-buat bodoh dan tak tahu apabila ditanya.”
“Crazy girl.“
“Semua perempuan gila, kalau macam tu,”
Kami diam. Beberapa waktu berlalu sebelum N bertanya, “So… kau gembira mahu bertemu dengannya? F,”
“Sedikit,”
“Maksudnya?”
“Ianya macam sebuah penantian yang tak begitu dinantikan. Aku rindukannya, tapi dalam masa yang sama, aku semakin lupa macam mana nak bercakap dengannya semula. Tentang dirinya atau keluarganya dan orang-orang di sekelilingnya. Kebanyakan masa, aku tak kisah tetapi harus buat-buat yang aku peduli. Kadang-kadang aku lupa yang aku telah berkahwin,”
“Bagaimana seorang isteri boleh melupakan tentang suaminya sendiri?”
“Dengan mencintainya secara sederhana, hehe”
N mengerutkan dahinya dengan kenyataan aku dan berkata, “Sederhana atau tak, izinkan diri kau untuk berperasaan lebih sikit, boleh tak? “
“Nak, tapi tak boleh. We’ll see how it goes?“
“Kau tahu yang kau sebenarnya tak gembira, kan?”
“Aku pilih untuk jadi tak gembira,” aku umumkan.
***
30 minit berlalu, dan aku bangun bersiap mahu pulang, “Aku harus pergi. Terima kasih untuk teh dan yang lain-lain. This has been nice“, aku senyum, separa janggal, hampir mahu menangis, dan N memeluk erat diriku.
“Jaga diri, crazy girl. Jangan rindukan aku nanti”.
***
Keesokan harinya, aku menyambut F yang tiba di stesen kereta api, setelah 20 jam perjalanan kapal terbang dari tanah air, dan ketika aku menyalami dan mencium tangannya, dia memelukku dan bertanya, “Rindu tak?”
“Tak sangat,” dan aku melihat raut wajahnya berubah.
“Gurau je. Mestilah.” aku sengih dan menarik bagasinya menuju apartmen kosong kami.